Salam
Ahad lepas, selepas breakfast bersama emak dan ayah di Larizz, Bangi saya dan en. Abg ke Alamanda. Tak plan pun nak ke sana. Mula-mula plan nak breakfast je kat Larizz tu kemudian balik ke rumah. Sebab fikir tak ke mana, saya cuma sarung t-shirt dan jeans. Pastu tepek la sikit muka ni dengan bedak. Tak la muka bangun tidur sangat =p
Tapi entah macam mana bertukar plan. Terus ke Alamanda. Airis dan en. Abg sudah bersiap cantik, saya je macam makcik pergi pasar nak beli ikan je rupanya. haha
Takde tujuan apa ke sana. Cumanya ada ura-ura nak beli iron baru sebab yang sedia ada tu dah memakan baju tuan dan puan majikan. huhu. Tapi ok gak, cuci-cuci mata di pagi hari ni kan. Mana taknya, pukul 10am kitorang dah terpacak kat dalam Alamanda tu. Kira tolong bukak kedai jugak la. hehe
Pusing punya pusing saya singgah di butik Anakku sambil menyorong stroller Airis. Nyenyak betol si bam-bam tu tidur. en. Abg tak bersama saya masa tu, beliau di kedai Maxis yang bersebelahan dengan butik Anakku. Masuk je butik tu, perlahan2 saya tolak stroller Airis sambil membelek2 baju yang ada. Saja cuci mata sambil menunggu en. Abg selesai urusan di Maxis.
Sedang saya membelek2 baju yang ada, datang seorang perempuan muda bersama seorang budak lelaki kecil lingkungan umur 3 atau 4 tahun. Terus menerus dia mengekori perempuan muda tu. Kemudian saya terdengar budak lelaki tu cakap "Nak ayah". Dibalas perempuan muda tu " Pergilah ayah kau kat luar tu". Air mukanya tidak dapat saya pastikan tapi nadanya sedikit keras.
Telahan saya budak itu bukan anaknya. Sebab perempuan tu bagi saya cantik dan kelihatan muda untuk mempunyai anak sebesar budak lelaki tadi. Mungkin dia ibu saudaranya? Atau juga kakaknya? Apa sahaja kemungkinan lain yang dirasakan munasabah.
Saya kembali menyambung operasi mencuci mata. Sekali lagi terdengar budak lelaki tu bercakap dengan ayat sama. Kali ni dalam kadar merayu. Saya sedikit terkejut bila terdengar perempuan tu membalas dalam keadaan marah "Pergilah. Ayah kau kat depan tu. Bodoh la kau ni" Muka perempuan tu sedikit masam.
Persoalannya, siapa budak lelaki tu padanya? Takkan bisa seorang ibu menutur kata yang kesat buat seorang anak?
Terus budak lelaki tu berlari ke luar. Mencari ayahnya mungkin. Saya panjangkan leher sambil mata mengekori melihat arah tujuan budak lelaki tersebut. Larinya membawa dia kepada seorang lelaki yang sedang mendukung seorang bayi perempuan. Dipautnya tangan si ayah sambil membawa ke arah patung yang mempamerkan baju kesukaannya. Tahu apa yang diucap si ayah bila anaknya cuba memaut tangannya? Ini katanya " Tepilah! Sengal la dia ni!"
Kemudian lelaki tu menjerit memanggil perempuan muda tu "Mama!"
Sah! Perempuan muda tu ibu kepada budak lelaki tadi
Saya terkejut.
Kenapa si ibu menggunakan bahasa yang tidak elok kepada si anak. Anak yang dikendong dalam perut selama 9 bulan. Yang dinantikan kehadirannya. Yang membawa rezeki kepada keluarga. Yang seharusnya dikasihi dan dibentuk sebaik-baik akhlaknya.
Budak-budak ni hatinya suci dan tulus. Apa yang dilihat, apa yang didengar itulah yang dipelajarinya. Sekali dua, mungkin tidak memberi kesan. Tapi kalau hampir setiap hari itu yang dilihat dan didengar, bukan kah itu akan mempengaruhi sifat dan akhlaknya. Bukankah setiap kata-kata seorang ibu kepada seorang anak adalah doa? Janganlah didoakan anak sebegitu, kasihan anak itu.
Mereka tak tahu mana yang betul, mana yang salah. Tangggungjawab kita sebagai orang tua untuk mengajar mereka tentang norma-norma hidup. Selagi mereka tidak mengenal dunia, selagi itulah tanggungjawab kita untuk mengasuh mereka. Kita guru sebenar mereka. Yang mengajar mereka serba serbi. Ajarlah dengan elok.
Budak-budak senang terpengaruh. Dari kawan-kawan, mereka belajar apa yang tak sepatutnya dipelajari. Apa yang disebut kawan, itulah disebutnya. Kadang-kadang mereka tak tahupun apa maksud tersirat di sebaliknya, cuma norma kehidupan membuatkan mereka meniru bulat2 tanpa membuat tafsiran. Jadi di rumah, ibu dan ayahlah memainkan peranan untuk meneutralkan kembali apa yang dipelajari. Tapi kalau dah si ibu dan ayah turut sama "mengupgrade"kan bahasa si anak, nak salahkan siapa?
Dan satu masa, apa yang diperkata oleh ibu dan ayah akan menjadi ikut-ikutan si anak. Mungkin di waktu kecil ni, kita boleh lagi ketawa apabila bahasa yang digunakan oleh anak pada kita kasar. Boleh lagi kita gelak ketawa dan menganggapnya sebagai gurauan. Tiada usaha untuk memperbetul keadaan. Tapi bila sudah sampai masa si anak besar panjang, bahasa itu yang digunakan untuk menggelarkan ibu dan ayah, relevan lagi kah jenaka itu?
Saya pernah menjadi kanak-kanak. Dan tak terkecuali melalui keadaan tersebut. Keadaan di mana menuturkan bahasa yang yang tidak enak didengar telinga. Tapi perlahan-lahan hilang ditelan arus perubahan selari dengan kedewasaan. Tiada lagi ungkapan kata-kata kasar yang keluar dari mulut. Sedangkan dengan adik beradik tidak pernah sekali, apatah lagi dengan kawan-kawan. Kehidupan telah mengajar saya adat dan tatasusila. Dan saya berusaha menjaga adat dan tatasusila tersebut.
Walaupun bergurau, sebolehnya saya elakkan perkataan yang mengguris hati orang lain. Saya tak gemar orang menggunakan perkataan tidak elok sebagai bahan jenaka kepada saya. Timbal baliknya, saya juga tidak akan berjenaka menggunakan cara yang sama. Mungkin luaran boleh sama-sama bergelak tawa, hakikatnya hati saja yang menentukan keikhlasan.
Saya bukan mengkritik. Saya masih mentah ilmu keibubapaan. Sebelum memperbetulkan orang lain seharusnya saya melihat ke dalam diri sendiri. Tapi memberi pandangan untuk perkongsian bersama tidak salahkan? :)
p/s : Bukan senang menjadi ibu
No comments:
Post a Comment